Saya terlupa bila mula saya mengenali beliau. Yang terpahat di memori ialah kami bersama dalam satu kelas dari Tingkata 1 hingga Tingkatan 3 (1988-1990) di Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh. Saya dan dia, duduk berdekatan, biasanya di bahagian belakang. Ada sebabnya.
Sebabnya ialah beliau mempunyai fizikal yang besar dan tinggi. Seingat saya, ketika bersekolah rendah pun, beliau berfizikal begitu. Menyebabkan beliau popular di mana-mana saja. Saya walaupun agak tinggi tetapi kurus melidi. Jadi, kami ditempatkan di belakang. Seboleh-bolehnya kami mahu duduk berdekatan.
Walaupun fizikalnya begitu, cara bergaul dan berfikir beliau sama saja dengan kami yang sebaya. Walaupun fizikal besar, ketika kanak-kanak beliau seperti kanak-kanak yang lain. Ketika remaja pun begitu. Itu menyebabkan beliau comel. Cute. Anda sendiri boleh bayangkan. Fizikal besar seperti umurnya 5-6 tahun lebih dewasa tetapi cara cakapnya seperti umur 5-6 lebih muda.
Semasa di sekolah menengah bersama, kami berkawan rapat. Sangat rapat. Kami berkongsi minat yang sama iaitu muzik Metal keras. Di dalam kelas, kami berdua memang dikenali sebagai Mat Metal yang berhati waja. Kami sentiasa bertukar kaset. Beliau ada kelebihan. Banyak kasetnya datang dari abang beliau dan beliau tidak kedekut untuk meminjamkan kepada saya. Begitu juga dengan saya. Apa-apa kaset baru yang dibeli, pasti akan saya pinjamkan kepada beliau. Borak kami, atau lebih tepat, kehidupan kami berkisar tentang Metal – bersembang, berbincang malah berangan pun pastinya ada kaitan dengan muzik Metal.
Untuk berbicara tentang bolasepak sekolah, saya tiada stamina (ada sejarah asma) dan dia pula memang kaki bangku. Awek? Sekolah kami 100% lelaki dan rasanya ketika itu umur kami terlampau muda untuk berbicara tentang itu. Pelajaran? Kami tidak nampak apa gunanya – tak dapat menjangkau lebih dari cuba mendapatkan posisi dalam kelas yang terbaik (dan termampu). Tetapi muzik Metal, lain ceritanya. Ia sungguh menyelerakan. Apa-apa saja yang berkait dengan muzik Metal pastinya menyebabkan sembang kami rancak dan berlarutan seperti tiada hentinya.
Karaoke pun tiada ketika itu. Kami cuba menghafal sebanyak mungkin lagu-lagu yang kami minati. Beliau memang suka menyanyi. Suaranya tidaklah sedap mana tetapi itulah caranya saya dan beliau menghabiskan masa, antaranya. Kadang-kadang dia menyanyikan lagu kegemarannya di depan muka saya. Saya pasti bukan niat beliau hendak menunjukkan betapa suara beliau sedap – tetapi sekadar hendak menyatakan kepada saya bahawa lagu itu memang sedap dan saya perlu mendengarnya ketika itu juga!
Beliau tinggal di Silibin sedangkan saya di Menglembu. Oleh itu, selepas sekolah, kami berjalan bersama ke stesen bas di Medan Kidd. Perjalanan hampir 1km itu, kami sambung bersembang tentang muzik yang kami minati. Topik lain memang tidak dapat saya ingat. Menunjukkan bahawa memang muzik Metal yang menjadi topik utama.
Antara perkara yang tidak akan dilupakan ialah beliau menjadi dalang kepada tabiat merokok saya. Ketika itu di Tingkatan 2. Walaupun awalnya saya sangat membenci rokok, tetapi sampai bila boleh tahan hampir keseluruhan masa saya bersama beliau. Akhirnya saya pun menjadi perokok. Alhamdulillah. Bukan kerana saya menjadi perokok tetapi dapat berhenti secara mutlak ketika berumur 18 tahun. Nasib baik saya tidak dikongsi oleh beliau kerana setakat yang saya tahu, beliau adalah perokok hingga ke akhir hayatnya.
Tujuan menceritakan bab rokok ini bukan apa – nak menunjukkan betapa besarnya pengaruh beliau terhadap saya ketika itu.
…bersambung

, Terimakasih telah mengunjungi Ulasani.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.