Judul: Banja ManggalaPenulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
ISBN: 978-967-446-425-7
Halaman: 467
Saya mengambil masa agak lama untuk menghabiskan Banja Manggala kerana pertama, saya tidak ingin dikecam sebagai spoiler memandangkan Banja Manggala adalah karya terkini Ramlee Awang Murshid dan kedua, saya sengaja melambatkan pembacaan kerana saya ingin membawa naskah Banja Manggala ke bumi Bosnia-Herzegovina dan berhajat hendak menghabiskan pembacaan semasa di dalam penerbangan pulang namun hajat tersebut tidak kesampaian memandangkan saya kurang sihat dan kepenatan, saya tertidur kebanyakan masa semasa penerbangan pulang dari Istanbul ke Kuala Lumpur. Sudahnya, saya menghabiskan pembacaan Banja Manggala di bumi Malaysia yang bertuah ini 🙂
Banja Manggala mengetengahkan tiga kisah-thriller, sejarah dan cinta. Thriller dalam Banja Manggala adalah kisah Amar, seorang rakyat Bosnia yang telah diangkat dan dibesarkan oleh keluarga Dato’ Husam dan Datin Normazlina sedari kecil iaitu pada ketika peperangan di Bosnia berlaku. Amar seorang yang mempunyai kelebihan sebagai jumper mampu untuk membuat salinan dirinya untuk pergi ke mana sahaja yang dia inginkan. Amar juga secara keturunannya merupakan seorang Armel iaitu Raja Serigala yang mampu berkomunikasi dengan kawanan serigala di Banja Luka, Bosnia-Herzegovina.
Banja Manggala pada pendapat saya lebih menyerlahkan kisah peperangan di Bosnia yang berlaku pada tahun 1993 dan impak peperangan tersebut kepada rakyat Bosnia. Watak-watak rakyat Bosnia iaitu Amar, Lamija, Hasanovic dan Cavak Salih dikisahkan di antara rakyat Bosnia yang terlibat dalam peperangan dan menerima impak peperangan walau pun setelah 23 tahun berlalu.
Perasaan cinta Amar terhadap Rania, adik angkatnya adalah elemen cinta di dalam Banja Manggala. Dato’ Husam dan Datin Normazlina sememangnya ingin menjodohkan Amar dan Rania namun Rania tidak bersetuju kerana Rania menyayangi Amar hanya sebagai seorang abang.
Kes-kes pembunuhan wanita yang berlaku di Travnik menggabungkan ketiga-tiga kisah ini menjadi satu. Wanita-wanita tersebut dibunuh dengan kesan gigitan pada tengkuk dan kemungkinan dirogol sebelum dibunuh. Kes pembunuhan ini dipercayai dilakukan oleh Banja Manggala, serigala jadian yang mendiami kawasan banjaran Banja Luka namun Hasanovic selaku polis penyiasat kes tersebut tidak mempercayainya. Cavak Salih, ketua Hasanovic memberikan sebuah buku kepada Hasanovic, buku yang mengisahkan tentang Banja Manggala dan menyarankan agar Hasanovic menemui penulis buku tersebut sebagai permulaan penyiasatan beliau. Dalam tempoh penyiasatan inilah Hasanovic menemui Lamija, seorang wanita yang juga diangkat oleh rakyat Malaysia 23 tahun yang lalu. Lamija kembali ke bumi Bosnia untuk mencari keluarganya yang masih hidup.
Amar yang juga merupakan Armel kembali ke bumi Bosnia untuk mengetahui lebih lanjut asal-usulnya. Kepulangan Amar ke Bosnia menemukannya dengan Vuk yang dipercayai adalah Banja Manggala. Vuk berasa terancam dengan kehadiran Amar kerana takut Amar akan menghapuskannya dan hasratnya ingin menjadi raja segala serigala di Banja Luka tidak akan kesampaian. Vuk mengambil tindakan untuk menghapuskan Amar. Pertembungan dan pertarungan di antara Amar dan Vuk di lokasi yang dilitupi salji dikisahkan dengan baik sekali dan sangat menarik minat saya.
Kehilangan Rania dan rakan-rakannya Haslinda dan Firdaus yang ditugaskan untuk membuat pengambaran travelog di Wilayah Balkan menambahkan konflik Banja Manggala. Di dalam situasi ini, Dato’ Husam dan Datin Normazlina mengharapkan bantuan Amar yang sememangnya sudah berada di Bosnia.
Sebagai seorang yang meminati genre thriller, tahap thriller di dalam Banja Manggala pada saya sangat kurang namun masih menarik untuk dibaca. Pendekatan Ramlee mengetengahkan watak Amar sebagai seorang jumper yang boleh berkomunikasi dengan serigala merupakan kekuatan thriller Banja Manggala.
Kepada anda yang meminati thriller yang ringan, Banja Manggala adalah pilihan yang tepat untuk dibaca. Anda perlu membaca Banja Manggala untuk mengetahui siapakah Banja Manggala yang sebenar dan adakah cinta Rania dan Amar akan bersatu 🙂
Selamat membaca Banja Manggala!

, Terimakasih telah mengunjungi Ulasani.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.






