Bayang Sofea

Ulasan Buku: Bayang Sofea, Antara Fantasi dan Realiti

Pre-order Bayang Sofea sejumlah 5,000 naskah
dijual dalam masa hanya 10 minit. Memang laku
keras, mengatasi jualan pisang goreng. Saya beli
melalui TT shop, setelah beberapa kali komen
untuk restock. Buku Teme selepas ni kena buka
untuk 10,000 naskah pre-order. Serius cakap ni 🙂 
 Bismillah…
Assalamualaikum…
Melangkah masuk ke dalam blog dengan kaki kanan. Dah bersawang sana-sini. Ambil masa sedikit untuk bersihkan mana yang mampu. Nanti kita sambung kemaskan. Sikit je lagi 🙂
Bertahun-tahun saya tinggalkan blog ini kerana memberikan tumpuan kepada tugasan hakiki yang memerlukan tumpuan yang lebih.
Terima kasih kepada yang terserempak dengan blog ini sama ada sengaja atau pun tidak sengaja. Kemungkinan carian anda membawa anda ke sini.
Terima kasih juga kepada yang menitipkan Hubungi Saya. Saya baca apa yang anda kongsikan kepada saya cuma tidak semua saya hubungi semula kerana kekangan masa dan juga lebih berhati-hati dengan fake profile, maklumlah sekarang ini scammer berleluasa dan mengambil kesempatan dalam apa juga ruang yang ada.
Agak lama juga saya tinggalkan dunia buku juga disebabkan tugasan hakiki yang mendesak. Beli buku tu ada cuma belum dibaca lagi. Rak buku saya pun sudah penuh dan buku-buku sudah disusun berlapis-lapis. InshaAllah, saya akan kemaskan buku-buku tersebut dan menderma sebahagiannya kepada yang memerlukan.
Bayang Sofea menggerakkan hati saya untuk masuk ke dalam blog ini dan meninjau statistik. Ramai yang tersesat ke sini untuk membaca review buku-buku Teme Abdullah rupanya. Seorang pelukis, menjadi arkitek, menjadi penulis, kalau dia rajin dia memetik gitar dan menyanyi, dan sekarang ada vibe selebriti k-pop pula. Sesi Meet & Greet Teme saya ikuti menerusi live Tik Tok Teme Abdullah yang sememangnya sangat meriah dan ceria. Syabas buat Iman Publication dan Teme. Memang terbaik!
Jom kita sembang pasal Bayang Sofea.
Bayang Sofea mengisahkan seorang gadis bernama Sofea yang melakar kejayaan hasil percaturan sebuah ‘organisasi misteri’. Sofea hanya perlu patuh kepada arahan mereka termasuklah membuat ritual meminum darah sendiri. Bermula dari pengajiannya di universiti sehinggalah dia bekerja di RICE Mall, semuanya adalah atas percaturan organisasi misteri tersebut.
Danny, rakan sekolah Sofea juga menjalani kisah yang serupa, menjadi seorang peninju bertaraf dunia hasil perjanjian dengan organisasi misteri yang sama. Danny pernah ingkar arahan dan cuba melarikan diri namun bayarannya adalah reputasi Danny dicalarkan dengan kisah skandal Danny bersama beberapa wanita.

Sofea juga mengambil keputusan untuk tidak mematuhi arahan pada ketika dia sedang dalam misi melakukan pembunuhan seorang kanak-kanak. Sebaliknya Sofea menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada dilanggar oleh bas menyebabkan Sofea cedera dan terlantar di hospital.
Bayang Sofea terbahagi kepada dua jalan cerita. Pertama, kisah Sofea menjalani kehidupan sebagai seorang Management Trainee di RICE Mall dan bahagian kedua adalah plot twist yang mendedahkan perkara sebenarnya yang berlaku kepada Sofea.
Sebagai seorang yang meminati genre thriller, saya sudah mengagak plot twist ini dari awal lagi. Bayang Sofea adalah karya pertama Teme yang mempunyai jalan cerita seperti ini. Menarik untuk dibaca kerana seperti bermain teka-teki. Clue ada diberikan, tugas pembaca adalah membuat tekaan. Teme mengakhiri Bayang Sofea dengan:

“Sehingga kini, Sofea boleh membezakan yang mana realiti, dan yang mana fantasi. Adakah anda boleh membezakannya?”

Jawapan saya, saya bukan Sofea, dan saya tidak boleh membezakan yang mana fantasi dan realiti. Boleh jadi, Danny adalah fantasi, atau semuanya fantasi kecuali Danny. Anda perlu membaca Bayang Sofea untuk cuba membuat tekaan.
Oleh kerana saya seorang yang sedikit OCD. Saya dapat mengesan ada beberapa kesilapan ejaan, typo saya kira. Tak banyak, ada dua sahaja 🙂
Penanda buku ini saya beli di kedai
rakan saya. Penanda buku Bayang
Sofea terhad kepada pembeli
pre-order sahaja
Pada pendapat saya sebagai seorang pembaca, Bayang Sofea kekurangan deskripsi. Maksud saya, lebih menarik lagi sekiranya ada penceritaan setting dan deskripsi watak. Elemen ini penting di dalam novel kerana pembaca perlu membayangkan satu-satu setting dan watak berdasarkan kepada apa yang disampaikan oleh penulis. Berbeza dengan menonton wayang atau drama, penonton boleh sahaja terus melihat ke skrin tanpa menggunakan imaginasi. Kelebihan Bayang Sofea, Teme telah kongsikan lakaran Sofea dan Danny menurut perspektif beliau. Jadi, sepanjang pembacaan, pembaca hanya perlu membayangkan watak Sofea dan Danny seperti lakaran tersebut.
Elemen menarik dalam Bayang Sofea yang diketengahkan oleh Teme adalah penggunaan cermin mata realiti maya, isu kekinian iaitu penghapusan etnik, mata wang crypto dan kekuasaan Kesatuan Eropah.
Terima kasih Teme kerana menampilkan Sabah di dalam Bayang Sofea. Jemputlah datang ke Sabah ye. Bolehlah nanti bawa sekali Bunga Kobis dan Bunga Cengkih, boleh jumpa Bunga Rafflesia, Bunga Kantan pun ada. Tiber… 🙂
Tahniah Teme untuk Bayang Sofea. Looking forward for more from you 🙂
Berbaloikah untuk membeli Bayang Sofea? Kepada peminat karya Teme Abdullah, anda boleh membelinya sebagai pelengkap koleksi anda. Kepada anda yang baru hendak membaca karya Teme, saya lebih sarankan anda membaca Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan sebagai permulaan.
Klik di sini untuk ulasan karya Teme Abdullah yang lain.
Judul: Bayang Sofea
Penulis: Teme Abdullah
Penerbit: Iman Publication Sdn Bhd.
ISBN: 978-629-7665-12-2
Halaman: 495 mukasurat

, Terimakasih telah mengunjungi Ulasani.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top