Musik

Ulasan: VINIIR The Story Chapter 1 demo 2011

Muzik adalah universal. Ini perlu dipegang kuat. Jika tidak, kita akan mudah tersasar dari objektif dan mulai melihat dari aspek yang tidak penting. Sebanyak mana sesebuah rilisan untuk menggembeleng tenaga untuk menghasilkan rilisan yang berkualiti, sebanyak itu jugalah penghargaan itu patut diberi tanpa meninggalkan aspek “kesedapan” rilisan tersebut.

Walaupun begitu, ada yang berlawanan pendapat. Muzik itu mestilah lahirnya dari jatidiri pemuzik tersebut. Sesuatu yang ada kena-mengena dan penghubungnya.

Konflik dua fahaman ini pasti akan terbit apabila berbicara tentang Viniir, sebuah band baru dari Ipoh yang mengkategorikan muzik mereka sebagai Viking Metal. Sebelum ini, bukan tiada band dari negara kita yang memainkan muzik sebegini, cuma mereka agak segan untuk melabelkan secara terang, Viking Metal. Mungkin terkesan dengan gerakan Eastern Metal yang lebih menonjol.

Dari satu sudut (tidak segan), kita boleh tabik kepada mereka. Arus yang mereka lawan bukan saja akan datang dari kawasan sini tetapi juga negara asal Viking Metal, iaitu Eropah. Seperti yang kita ketahui, golongan ini di Eropah sangat menyanjung jatidiri mereka dan selalu memandang rendah bangsa lain. Apatah lagi pendekatan yang “ekstrim” sebegini. Adakah Viniir akan diterima atau dihina, natijahnya nanti pasti kita nantikan untuk melihat samada hayat Viniir panjang atau tidak.

Berbicara tentang muziknya, Viniir adalah daif jika dibandingkan dengan band seangkatan mereka dari Eropah yang lebih eksperimental atau sekurang-kurangnya lebih unggul dalam penghayatan. Mungkin sudut pandangan yang patut dibuat ialah mengimbau kembali zaman Viking Metal ini baru menjelma maka di situ boleh dilihat sedikit sinar.

Lagu pertama Thor menggalas beban yang besar kerana tajuk itu mengingatkan semangat yang timbul ketika Manowar memainkan versi mereka. Jika Manowar dijadikan kayu ukur, memang bagai langit dan bumi dan sebenarnya tidak layak dibuat perbandingan. Struktur versi Viniir tiada semangat dan tidak menggambarkan “keunggulan” Thor yang memerlukan elemen keagungan dan  nasionalis yang menonjol.

Walaupun lagu kedua, The Story tiada banyak bezanya dengan Thor tetapi elemen Viking Metal itu lebih menyerlah. Kita mungkin akan terasa, mungkin lagu ini salah tajuk kerana lagu inilah yang selayaknya diberi tajuk Thor. Choir yang diselitkan dalam lagu ini memberikan lenggok Viking yang sangat diperlukan. Lagu akhir Edda War letaknya antara dua lagu tadi dari segi kesedapan. Tetapi strukturnya tidak banyak berbeza dengan lagu The Story.

Masalah utama Viniir ialah dalam 3 lagu yang ditampilkan, ia mengambil masa yang agak lama untuk membezakan antara yang ini dengan yang itu. Dengan lain perkataan, variasinya kurang. Jika interpolasi dibuat untuk 8 lagu berdasarkan kepada 3 yang ada, makin bertambah sukar untuk mencari perbezaannya. Perpustakaan melodi Viking adalah luas sepatutnya dijelajahi dan dibuat eksperimen oleh Viniir.

Perasa nusantara juga masih dapat dirasai. Acuan asasnya masih nusantara. Membuang segala-galanya yang mengingatkan kita kepada nusantara sepatutnya menjadi objektif Viniir. Sekelumit melodi, lenggok atau gaya yang mengingatkan kita bahawa Viniir berasal dari nusantara patut dibuang terus. Ini kerana keberanian Viniir melabelkan muzik mereka sebagai Viking Metal patut diiringi dengan keberanian mengambil muzik Viking Metal secara total kerana survival Viniir sangat bergantung kepada prinsip ini.

EMAIL: viniirband@yahoo.com


, Terimakasih telah mengunjungi Ulasani.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top